PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN
Dari sudut sejarah, falsafah pendidikan negara lahir daripada proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia semenjak merdeka lagi. Umum mengetahui bahawa falsafah pendidikan negara yang dirumuskan pada tahun 1988 dan disebut dalam Akta Pendidikan 1996 berbunyi:
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara.
Falsafah pendidikan negara ini mengambil inspirasi daripada proses pembangunan bangsa dan negara yang agak panjang. Apa yang digariskan dalam falsafah ini juga amat berkait rapat dengan perkembangan dunia Islam dan pembangunan negara Malaysia. Perbandingan falsafah ini dengan resolusi atau konsensus sedunia Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Muslim Pertama yang diadakan di Jeddah, dari 31 Mac hingga 8 April 1977 tidak jauh berbeza, petikan daripada ulasan Mohd Kamal Hassan (1988) dalam bukunya Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu.
Menurut beliau, pengisytiharan Makkah mengenai matlamat pendidikan adalah meliputi “perkembangan yang seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan rohaniahnya, intelek, rasional, perasaan dan indera.” Sumber kepada pendidikan berkenaan adalah sumber wahyu dan akal sebagaimana yang diutarakan dalam konsensus Persidangan tersebut. Faktor keseimbangan dan kesepaduan dalam resolusi ini dapat dimanifestasikan dalam falsafah pendidikan negara yang dirumuskan 11 tahun kemudian. Sejarah pendidikan juga memainkan peranan dalam membentuk falsafah berkenaan. Dalam Akta Pelajaran 1961 yang dilaksanakan berdasarkan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 ada dinyatakan permulaan kepada falsafah pendidikan negara. Walaupun begitu, ianya tidak luas dan hanya sesuai dengan zaman pembangunan negara pada tahun-tahun 1970an dan 80an.
Dasar Pelajaran Kebangsaan lebih menjurus kepada usaha kerajaan menyatupadukan semua kaum:
Tujuan Dasar Pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur ansur.
Penyata Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pendidikan 1961 yang memungkinkan lahirnya Dasar Pelajaran Kebangsaan ini boleh dirumuskan sebagai milestone kepada zaman pengukuhan dan kemaskini dalam sistem pendidikan negara.
Dasar Pelajaran Kebangsaan ini mula diolah kembali bagi menyesuaikan negara kita dengan perkembangan zaman. Laporan Kabinet 1979 adalah permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih jelas. Sebahagian ciri-ciri Laporan Kabinet 1979 lebih banyak menumpukan kepada penegasan kepada pendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), pendidikan kerohanian dan kurikulum ala, Malaysia.
Zaman pensejagatan atau globalisasi merupakan satu cabaran baru bagi sistem pendidikan kita. Lahirnya Akta Pendidikan 1996 adalah satu sahutan kepada cabaran berkenaan. Buat pertama kalinya, dapat dilihat pelbagai pengukuhan dan penegasan dilakukan oleh pihak kerajaan termasuklah teras kepada sistem pendidikan iaitu falsafah pendidikan negara. Pendidikan bertaraf dunia atau Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dijadikan objektif sistem pendidikan masa kini sebagaimana maksud beberapa akta pendidikan yang lain.
Buat pertama kalinya, jelas menunjukkan bahawa bukan isu perpaduan sahaja sebagai isu utama yang perlu diselesaikan akan tetapi isu yang lebih global seperti keperluan guna tenaga dan keterampilan ilmu yang sesuai dalam zaman. Apatah lagi, zaman ini dikenali sebagai permulaan gelombang maklumat dan pengetahuan. Buat pertama kalinya juga, pendidikan swasta sebagai rakan penyumbang dan ahli dalam sistem pendidikan kebangsaan diberikan perhatian yang sewajarnya. Era pra-1996, institusi pendidikan swasta boleh dianggap marginal dan tidak diiktiraf.
Dalam zaman pengukuhan dan kemaskini, sistem pendidikan kebangsaan hanya merangkumi institusi pendidikan yang ditubuh dan diurus oleh pihak kerajaan termasuk institusi pendidikan vernakular. Dalam zaman pensejagatan ini, sistem pendidikan kita merangkumi pendidikan pra-sekolah sehingga ke pendidikan tinggi awam dan swasta. Barangkali, inilah yang dikatakan pendekatan perpaduan yang lebih relevan iaitu dengan merangkum semua bentuk dan peringkat institusi pendidikan dalam negara untuk dikawalselia secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
Berikut disenaraikan beberapa perkara penting yang terlaksana dalam Akta Pendidikan 1996:
(a) Landasan dan wawasan pendidikan adalah berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Negara,
(b) Sistem Pendidikan Kebangsaan didefinisikan secara jelas yang meliputi semua peringkat termasuk pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pendidikan pascamenengah dan pendidikan tinggi,
(c) Pengukuhan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan,
(d) Pendidikan swasta dikawalselia melalui akta lain,
(e) Kurikulum kebangsaan diperuntukan,
(f) Peruntukan peperiksaan awam yang perlu dipatuhi,
(g) Bahasa kebangsaan sebagai matapelajaran wajib,
(h) Peruntukan bahasa Cina, Tamil dan bahasa Orang Asli,
(i) Tempoh pendidikan rendah antara 5 hingga 7 tahun,
(j) Pendidikan lepas menengah,
(k) Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan,
(l) Peruntukan pendidikan khas,
(m) Maktab-maktab pergururan,
(n) Pengajaran Agama Islam dan moral
Analisis Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Dua aspek yang perlu ditekankan dalam menganalisis FPK iaitu cabang-cabang falsafah dan elemen-elemen yang terkandung. Analisis FPK merujuk kepada cabang-cabang falsafah:-
Cabang Falsafah | Ciri-ciri FPK | Implikasi |
Metafizik | Menyeluruh dan bersepadu. Maksudnya: badan ilmu sejagat yang harus diajar oleh guru dan dipelajari oleh murid | § Potensi dan kebolehan individu penting untuk berkembang secara menyeluruh dan bersepadu |
Epistemologi | Usaha yang berterusan. Maksudnya: ilmu sentiasa berubah, Tiada ilmu mutlak | § Penyesuian diri mengikut peredaran zaman dan perkembangan semasa amat penting, misalnya teknologi maklumat(ICT), k-ekonomi dan sebagainya, § Perubahan ilmu akan menggalakkan perkembangan pengetahuan dan kemahiran diri, § Penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat |
Aksiologi | (i)Kepercayaan dan kepatuahan kepada Tuhan. Maksudnya:l unsur kewujudan, peranan agama, (ii)Berakhlak mulia dan betanggungjawab. Maksudnya: peranan nilai moral, etika dan sahsiah | § Peranan hubngan vertikal (iaitu: individu dengan Tuhan), § Peranan hubungan mendatar( iaitu: individu dengan orang lain, individu dengan alam sekeliling, § Penerimaan Tuhan sebagai Pencipyta yang Maha Esa § Kepentingan pengajaran agama dan moral, § Fokus kepada pembinaan insan, § Penekanan kepada perkembangan sahsiah |
Logik | Berketerampilan. Maksudnya:kepentingan penaakulan sah dan tidak sah. | § Keperluan prosedur kerja yang sistematik dan betul § Pemupukan kompetensi diri |
Analisis FPK yang merujuk kepada elemen-elemen yang terkandung pula adalah:-
Elemen-elemen FPK | Implikasi |
Pendidikan suatu usaha berterusan | § Pendidikan adalah suatu proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni, § Proses pemerolehan dan pemindahan berlangsung secara berterusan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat, § Pendidikan awal kanak-kanak amat penting untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun, § Sahsiah yang dibentuk akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan, § Setelah tamat persekolahan, setiap individu masih terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka, § Proses pendidikan yang berterusan bagi membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan. |
Perkembangan potensi individu | § Setiap individu telah diberkati Tuhan dengan bakat dan potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam, § Bakat, potensi dan kebolehan akan terjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling, § Pendidikan seharusny memberi peluang individu unbtuk berkembang bakat, potensi dan kebolehan mereka. |
Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu | § Bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan, sebaliknya dihubungkait atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain, § Perkembangan dan peningkatan seelok-eloknya merangkumi empat aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani. |
Insan yang seimbang dan harmonis | § Amat penting bagi individu memiliki ilmu(intelek), sahsiah yang baik(emosi), percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik(rohani) dan kesihatan diri yang baik(jasmani) § Keseimbangan antara keempat-empat aspek di atas akan menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri dan orang lain, § Individu sedemikian memiliki ketahanan untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa jua masalah yang timbul. |
Unsur intelek | § Mempunyai kemahiran asa 3M: membaca, menulis dan mengira, § Sering berusaha untuk memperoleh dan mengembang ilmu yang benar, § Berkemahiran untuk berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif, § Sanggup untuk berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran(menyebarluaskan ilmu) |
Unsur rohani | § Menyedari dan percaya kepada Tuhan, § Bersyukur dengan pemberian Tuhan, § Berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni. |
Unsur emosi | § Mempunyai emosi yang matang dan stabil, § Memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang, § Mempunyai sifat kekitaan dan perpaduan. |
Unsur jasmani | § Menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal, § Mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial, § Menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat. |
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan | § Mengakui tentang kewujudan Tuhan, § Mengakui Tuhan sebagai Pencipta manusia dan alam, § Menyedari bahawa hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan, § Menyedari bahawa individu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala perbuatan dan tindakannya, § Mengamalkan segala ajaran agama yang dianuti |
Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan | § Cintai ilmu pengetahuan § Berusaha memupuk budaya ilmu dan budaya membaca, § Mempunyai fikiran yang luas dan terbuka |
Rakyat Malaysia yang berketerampilan | § Mempunyai kecekapan dan kompetensi diri, § Berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan semprna, § Berpandangan jaun dan berinisiatif, § Memupuk pembawaan diri yang baik |
Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia | § Mempunyai perwatakan diri yang baik, § Berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup. |
Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab | § Boleh dipercayai § Menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik § Menjalankan tugas dengan amanah, bersih dan cekap, § Mematuhi peraturan dan undang-undang negara, § Berusaha untuk meningkatkan diri, keluarga, masyrakat, agama, bangsa dan negara. |
Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri | § Berfikiran waras dan berjiwa tenang, § Mempunyai daya ketahanan yang kuat untuk menghadapi cabaran hidup. |
Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyrakat dan negara | § Berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan sebagainya, § Berusaha untuk memajukan ekonomi negara berdasarkan dasar-dasar yang ditetapkan, § Sering mengekalkan kestabilan politik dan keamanan negara, § Mematuhi perlembagaan dan peraturan negara, § Mempertahankan maruah diri, profesion, agama, bangsa dan negara. |
Berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri | § Mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi, § Berkebolehan untuk mengharungi liku-liku hidup |
Sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara | § Menjadikan Rukunegara sebagai amalan hidup, § Memupuk kesefahaman keluarga, § Mematuhi norma masyarakat, § Cintakan negara. |
Implikasi FPK terhadap Sistem Pendidikan Negara
Hasil daripada pembelajaran dan pemahaman tentang FPK, dapat disimpulkan beberapa implikasi terhadap sistem pendidikan negara. Pertama, FPK adalah satu dokumen rasmi yang menggariskan hasrat Kerajaan terhadap sistem pendidikan negara ini serta matlamat pendidikan dengan jelas. Oleh itu, kandungan FPK hendaklah dihayati dan diusahakan oleh kaum politik pendidik bagi memastikan hasrat Kerajaan dan matlamat pendidikan tercapai. Dalam pada itu, amat penting agar FPK dijadikan satu garis panduan dan rujukan kaum pendidik semasa mereka melaksanakan tugas-tugas pendidikan serta fungsi-fungsi pendidikan masing-masing.
Kedua, para pendidik hendaklah memainkan peranan aktif dalam merealisasikan FPK. Dalam hal tersebut, mereka hendaklah bersifat terbuka terhadap perubahan yang pesat dalam bidang sains dan teknologi terutamanya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Sehubungan itu mereka seharusnya bersedia untuk menimba ilmu dan kemahiran-kemahiran baru berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran, kemudian berani dan sanggup melaksanakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah bagi mata pelajaran yang diajar.
Ketiga, para pendidik perlu menyedari hakikat bahawa tugas dan tanggungjawab mereka bukan hanya terbatas dan tertumpu pada penyampaian ilmu dan kemahiran sahaja. Malahan pembentukan modal insan itu juga perlu diberi perhatian yang serius. Adalah diharapkan agar generasi muda menjadi individu yang berkembang secara menyeluruh dan seterusnya berupaya menyumbangkan ilmu, kemahiran, masa dan tenaga mereka demi keluarga, masyarakat dan negara.
Konklusinya, jelas terbukti bahawa sekiranya setiap pendidik berpegang kepada FPK dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab profesional mereka, sudah pasti matlamat dasar pendidikan negara akan menjadi satu kenyataan dan bukan hanya satu impian sahaja.
minta share ya..
ReplyDelete