Prof Madya Dr Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris memberi pandangan bahawa dari perspektif psikologi tingkah laku, memeras ugut rakan, adalah antara contoh buli yang berlaku di kalangan kanak-kanak.
Perlakuan itu adalah bentuk tingkah laku antisosial dan bila berlaku di kalangan kanak-kanak berusia tujuh atau lapan tahun berkemungkinan ia berpunca daripada tingkah laku agresif yang tidak dibendung dan ditangani dengan baik ketika kanak-kanak itu berada di peringkat pra sekolah lagi. Buli adalah satu bentuk conduct disorder yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku dan gangguan emosi. Buli boleh didefinisikan sebagai suatu tingkah laku negatif dan berterusan yang dilakukan dengan niat sengaja untuk mengganggu mangsa, manakala mangsa selalunya dalam keadaan terganggu dan tertekan.
Buli biasanya membabitkan tiga pihak, kanak-kanak atau kumpulan kanak-kanak yang membuli, kanak-kanak atau kumpulan kanak-kanak yang menjadi mangsa buli dan kanak-kanak lain yang kadangkala menyaksikan proses buli itu berlaku. Tingkah laku negatif ini selalunya ditonjolkan dalam bentuk fizikal seperti memukul, menendang dan sebagainya; atau dalam bentuk verbal (kata-kata) seperti memeras ugut, mengejek, mengutuk dan menjatuhkan maruah sehingga menyebabkan mangsa buli hilang rasa harga diri.
Beliau berkata, buli juga boleh berlaku dalam bentuk manipulasi sosial seperti mempengaruhi kawan lain supaya seseorang kanak-kanak itu merasakan dirinya dipinggirkan atau tidak diterima dalam sesuatu kelompok rakan sebaya. Keadaan itu berkemungkinan berlaku khasnya jika di rumah kanak-kanak menjadi mangsa keganasan dan mereka terpaksa berkelakuan baik serta memendam apa yang terbuku di dada kerana takut pada keadaan. Sebaliknya bila di sekolah mereka mungkin akan melepaskan geram tersebut dengan ‘mengganas’ dan mencari mangsa untuk melepaskan dendam mereka. Kanak-kanak seperti itu lazimnya dididik agar takutkan sesuatu bayangan atau seseorang sedangkan jiwa mereka memberontak dan bila orang yang ditakuti tiada, mereka seperti ‘bebas’ melakukan apa saja untuk mencapai kepuasan diri bagi menggantikan apa yang tidak dapat mereka kecapi di rumah,” katanya.
Menerusi Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence (1996)buku, Pattterson (1982; Patterson et al 1989) menerangkan bahawa anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal di dalam keluarga yang dianggapkan sebagai breeding grounds kepada tingkah laku anti-sosial dan hostile. Keluarga ini selalunya beratmosferakan coercive home environment di mana anak-anak berinteraksi dengan ibu bapa dan sesama sendiri dengan menggunakan kekerasan ataupun dengan teknik-teknik anti-sosial yang lain.
Tekanan yang berterusan ini akan mengakibatkan anak-anak ini, secara tidak langsung, terpaksa mempelajari teknik-teknik tersebut untuk terus selamat di dalam keluarga mereka. Anak-anak akan mulai berani menentang ibubapa dan keluarga sendiri untuk mengurangkan tekanan yang dirasai oleh mereka. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka. Patterson (1982; Patterson et. al 1989) mengatakan bahawa sikap anak-anak dan persekitaran keluarga yang destruktif ini tidak mungkin boleh dipulihkan jika mereka tidak mendapat bantuan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab.
Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia yang juga bekas Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia,Universiti Pendidikan Sultan Idris pula pernah menjalankan kajian berkaitan dengan buli. Beliau mendapati ada beberapa faktor yang menyebabkan kes buli ini terjadi. Faktor utama ialah kerana si pembuli merasa puas apabila dia berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan juga fizikal.
Dengan kata lain pembuli membuli orang lain sekadar untuk "berseronok". Kajian Dr. Noran juga mendapati kebanyakan mereka yang terlibat dengan buli ini tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dengan ibu bapa dan kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama.
No comments:
Post a Comment